Isnin, 31 Oktober 2011

BAGAI HEMBUSAN BAYU SENJA - JURI DURABI

SINOPSIS
Hardi berjalan-jalan di tepi pantai seorang diri lalu teringat kisah pengenalannya dengan seorang gadis manis berdarah Kadazan yang agak peramah dan lembut. Oleh kerana itu Hardi jatuh cinta kepada gadis itu. Permulaan pertemuan Hardi dengan gadis bernama Julaini itu bermula ketika Julaini datang bertandang ke rumah Hardi kerana dia berkawan rapat dengan adik Hardi iaitu Aziah. Aziah dan Julaini berkawan rapat sejak dibangku sekolah sehinggalah satu tempat kerja.
      Pada mulanya Julaini berasa malu berbual-bual dengan Hardi namun lama kelamaan mereka serasi. Dari pada itu Hardi dan Julaini berkenalan sehingga timbul bibit-bibit percintaan antara mereka yang berlainan agama. Saban hari percintaan mereka menjadi mekar dan tidak dapat dipertikaikan lagi. Ahli keluarga mereka sudah tahu mereka berkawan malah mereka kerap berjalan berdua-duaan ke tempat-tempat hiburan. Mereka berdua sudah merancang dan berjanji membina mahligai yang amat bahagia atas dasar cinta dan kasih sayang mereka.
      Pada suatu malam seperti biasa mereka bersama-sama duduk di tepi pantai berbincang tentang masa depan mereka. Pada masa itu Hardi telah menyuarakan kebimbangannya sekiranya keluarga mereka tidak merestui hubungan mereka. Ini kerana mereka berlalinan agama. Namun Julaini sangggup menukar agamanya dengan memeluk agama Islam. Cinta Julaini kepada Hardi tidak dapat disangsikan lagi. Hardi telah menyuarakan hasratnya ingin membawa Julaini lari dari keluarganya tetapi Julaini sangat menyayangi keluarganya. Oleh sebab itu Julaini menolak permintaan Hardi. Hardi akur dengan jawapan Julaini dan mereka tetap bersama. Tidak lama kemudian Hardi berasa hairan kerana Julaini tidak ditemui lagi selama tiga bulan. Hardi berasa resah dan sangat merindui Julaini. Hardi mencari Julaini namun pencariannya menemui kegagalan.
      Selang beberapa bulan kemudian, Hardi menerima sepucuk surat daripada Julaini yang mana isinya menyatakan Julaini telah mengikut keluarganya berpindah malah tempat kerjanya juga bertukar. Ini kerana keluarga Julaini tidak mahu dia menukar agama dan melarang Julaini berjumpa dengan Hardi lagi. Hardi berasa sangat sedih akan jawapan Julaini dan tindakan keluarga Julaini yang telah memisahkan mereka berdua. Namun Hardi akur akan tindakan Julaini kerana Hardi tahu Julaini sangat menyayangi kedua ibu bapanya. Percintaan mereka berdua berakhir di situ sahaja.

TEMA
 Percintaan berlainan agama.

PERSOALAN
*Bertanggungjawab kepada agama dan ibu bapa.
*Kasih sayang sesama makhluk.
*Persahabatan yang ikhlas.
*Kepercayaan kepada agama.

WATAK DAN PERWATAKAN
 HARDI 
* Pemuda melayu
*Abang kepada Aziah
*Beragama Islam
*Cinta akan agamanya
*Kepercayaan kepada agama

JULAINI
* Mencintai Hardi
* Kaum Kadazan beragama kristian
* Kulit kuning langsat, berlesung pipit
* Mencintai agamanya
* Patuh kepada kedua ibu bapanya
* Pemalu dan lemah lembut
* Seorang yang tabah

AZIAH
* Adik kepada Hardi
* Bersahabat baik dengan Julaini
* Beragama Islam
* Periang
* Peramah
* Lucu 
   
 

Ahad, 30 Oktober 2011

DI BAWAH LANGIT TAKUT-TAKUT - AMALIA FAUZA BOHARI

SINOPSIS
Cerpen ini menceritakan seorang wanita bernama Ardani yang mempunyai sifat murni dalam membantu masyarakat yang memerlukan bantuan biarpun ianya bukan masyarakatnya sendiri. Ardani merupakan salah seorang sukarelawan Yayasan Sarang Bangun yang membantu mengagihkan pelbagai jenis bantuan kemanusiaan untuk mangsa perang Moro iaitu peperangan antara tentera kerajaan Filipina ( AFP ) dengan pejuang Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro ( MLF ) di Mindanao.
Ardani menyertai rombongan ini selama beberapa hari dan diberikan tugas untuk mengagihkan bantuan kepada mangsa. Semasa berada di sana, Ardani mendapati pelbagai titik hitam yang melanda kaum serumpunnya seperti kehilangan nyawa, kemiskinan, kebuluran, ibu tunggal dan pelbagai lagi masalah yang membuatkan Ardani berasa begitu sedih. Ardani juga berkesempatan mengenali beberapa orang tempatan di situ yang menceritakan kisah dan pengalaman mereka sewaktu dalam peperangan itu. Antaranya Rini seorang gadis yang kematian ayah akibat peperangan itu. Mereka hidup dalam kemiskinan di mana rumahnya begitu daif sehingga selayaknya dipanggil gubuk kerana ianya hanya seluas 10 meter persegi. Rini terpaksa menjaga adik-adiknya yang masih kecil memandangkan ibunya keluar untuk mencari nafkah.
      Ardani begitu sedih melihat penderitaan yang dialami oleh Rini dan cuba membandingkan kehidupan Rini dengan orang di Malaysia yang mana jauh bagai langit dengan bumi. Begitu juga dengan Ibu Bariah iaitu seorang wanita yang kematian suami akibat peperangan itu. Ibu Bariah menceritakan keperitan hidupnya setelah suaminya gugur di medan perang. Ardani begitu sayu mendengar cerita Ibu Bariah dan ianya menjadikan Ardani lebih takut dengan keadaan di situ. Bagaimanapun, Ardani juga mendapat pelbagai pengalaman yang mencabar antaranya seperti menaiki pumpbot dari kampung menuju ke Bandar Isabela. Pemandu bot itu adalah seorang kanak-kanak yang berusia lingkungan 10 tahun. Bot yang dinaikinya itu terumbang ambing tatkala meluncur laju. Ardani hanya mampu bertawakal agar sampai ke destinasi dengan selamat.
      Di akhir hari Ardani dan rakan-rakannya berada di Filipina, Ardani dikejutkan dengan kematian budak yang menjadi pemandu bot yang dinaikinya untuk ke Bandar Isabela. Ardani tersentak dengan berita itu namun tetap tabahkan hati. Ardani juga memperingati semula keperitan hidup yang dilalui oleh Rini dan Ibu Bariah yang membawa sebribu pengajaran kepadanya dan bersyukur dengan apa yang ada di negara sendiri. Tidak cukup dengan itu, Ardani ditanya oleh Nizam salah seorang rakannya dengan soalan adakah dia sanggup datang semula ke sini jika diberi peluang lagi? Ardani tersentak dengan soalan itu, namun menjawabnya dengan tenang. Jika diberi peluang sememangnya Ardani ingin turut serta tetapi kalau boleh Ardani tidak mahu hidup di bawah langit takut-takut sebagaimana masyarakat di situ.

TEMA 
Tema bagi cerpen "Di Bawah Langit Takut-Takut" ini adalah keprihatinan seorang gadis bernama Ardani dalam berbakti kepada masyarakat yang memerlukan bantuan kemanusiaan. Ardani, seorang gadis dari Malaysia yang menyertai rombongan kemanusiaan Yayasan Sarang Bangun ke Mindanao  Filipina.

PERSOALAN 
1. Penderitaan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa perang Moro. Hal ini dapat diperhatikan dalam contoh berikut:
                    "......Barangay Takut-takut sebuah perkampungan air yang letaknya di Jolo,
                    iaitu ibu negeri Wilayah Sulu di Filipina, yang merupakan gelanggang hidup
                    kaum Moro yang sengsara dan menderita. Inilah akibat peperangan selama
                    30 tahun antara tentera kerajaan Filipin dengan para pejuang Barisan 
                    Pembebasan Kebangsaan Moro di Filipina ..." ( m/s 140 ) 
2. Imansipasi Wanita 
*Ibu Bariah yang memperjuangkan nasib ibu tunggal yang menjadi mangsa selepas kematian suami akibat perang Moro itu.
*Hak-hak ibu tunggal seperti dinafikan dan hidup terumbang ambing selepas kematian suami yang selama ini menjadi tunggak dalam keluarga. Ini dapat diperhatikan dalam petikan berikut:
                    "...Ketika perang dulu, kebanyakan kami memang lebih menumpukan
                     soal rumah tangga. Akibatnya, apabila nyawa suami terkorban, kehidupan
                    kaum wanita di sini menjadi kucar kacir." ( m/s 147 )
3.Kegigihan dalam meneruskan hidup
*Dapat dilihat pada watak seorang gadis yang kematian ayah dan terpaksa menjaga adik-adik yang masih kecil. Rini hidup dalam serba kekurangan namun ianya tidak mematahkan semangatnya untuk membantu ibunya. Ini terdapat dalam dialog berikut:
                    "Rini pendiam orangnya. Namun, dia petah berbicara apabila diajukan
                     soalan. Sesekali nada suaranya ditekan keras bagi menyatakan keperitan
                     hidup dan tekanan yang dihadapinya. Lebih-lebih lagi tugasnya sebagai
                     anak sulung kepada enam adik beradik yang masih kecil. Tanggungjawab
                     ini diambil alih setelah kematian ayahnya dan kesibukan ibunya mencari
                     nafkah setiap hari." ( m/s 142 )
 

WARNA HATI SEORANG DATIN - RAHMAN HAJI YUSOF



SINOPSIS
Cerpen ini mengisahkan mengenai perpecahan dalam sebuah keluarga dan berakhir dengan sebuah kedamaian. Datin merupakan watak utama dalam cerpen ini telah sedar mengenai pentingnya mempunyai nilai keinsafan dalam dirinya bagi meneruskan kehidupan yang lebih baik bersama-sama madunya yang terdiri daripada Siti Halijah, Syarifah Aminah, Cikgu Jalilah dan juga anak-anak tirinya. Selepas perlahwinan Datuk dengan madu-madu, perhubungan datin dan madu-madunya tidak begitu baik dan begitu renggang yang menyebabkan datin dan seluruh keluarganya membenci madu-madunya terutama Siti Halijah yang masih kekal bersama datuk.
      Datin amat membenci madu-madu yang telah berkahwin dengan suaminya tanpa kebenarannya. Tidak cukup kebencian yang dilontarkan oleh datin terhadap madu-madunya, bahkan anak-anak datin juga turut mengikut jejak ibu mereka. Sebenarnya kebencian boleh dilihat pada anak-anak datin dan bukannya Datin.
       Setelah kematian suaminya, segala-galanya telah berubah. Datin mula insaf akan perbuatannya membenci madu-madunya terutama Siti Halijah yang begitu tabah walaupun pernah dimaki oleh anak datin sendiri. Siti Halijah tidak dibenarkan datang ke rumahnya setelah berkahwin dengan datuk. Dia tidak diterima oleh ahli keluarga datin. Namun ketabahan dan kekuatan yang ada pada siti Halijah membuatkan dia terus di samping datuk dan sehinggalah kematian datuk. Datin telah bertekad untuk berbaik-baik semula dengan madu-madunya dan berharap segala peristiwa yang telah berlalu puluhan tahun sebagai suatu pengajaran kepadanya.
      Beliau merasakan perlu bagi dirinya serta keluarganya menerima semula madu-madunya setelah kematian suaminya. Beliau mahukan sebuah keluarga yang bahagian dan salling faham memahami di antara satu sama lain. Dalam pada itu datin telah mempelawa madu-madunya serta anak-anak tirinya untuk tinggal bersama-sama dengannya. Namun begitu beberapa madunya dan anak-anak tirinya tidak dapat tinggal bersama kerana mempunyai kehidupan sendiri di luar. Kecuali bagi Siti Halijah, beliau menerima pelawaan Datin dengan hati yang terbuka walaupun pernah berselisihan faham dengan madunya beberapa tahun dahulu.

TEMA
Tema cerpen ini ialah perpecahan dalam sebuah keluarga. Ia banyak menggambarkan perpecahan yang berlaku dalam anggota keluarga tersebut sehinggalah saat kematian seorang suami. Perpecahan yang berlaku amat serius kerana bukan sahaja melibatkan madu-madu tetapi melibatkan anak-anak secara amnya. Dalam keadaan ini mereka tidak pernah merasa kebahagiaan mempunyai sebuah keluarga yang besar setelah suami datin berpoligami.


PERSOALAN
A.Perpecahan dalam keluarga.
a. Perpecahan dalam keluarga merupakan perkara yang tidak diingini berlaku kerana ia menimbulkan pelbagai masalah. namun perkara seperti ini kadangkala tidak dapat dielakkan juga.
b. Dalam cerpen ini banyak menceritakan pelbagai masalah yang melibatkan hubungan persaudaraan seperti hubungan madu dengan madu, hubungan dengan ibu tiri dan hubungan adik-beradik. Madu-madu tidak menunjukkan hubungan yang baik, sering berlaku pergaduhan dan rasa tidak puas hati. Begitu juga hubungan dengan ibu tiri, tiada nilai kasih sayang serta hubungan dengan adik-beradik yang renggang.
B. Tabah menghadapi cabaran berkeluarga.
a. Cabaran berkeluarga merupakan satu cabaran yang biasanya akan ditempuhi oleh setiap orang. Sama ada cabaran itu besar atau sebaliknya bergantung kepada situasi.
b. Namun dalam cerpen ini, kita boleh lihat watak yang ditonjolkan oleh Siti Halijah begitu tabah dalam mengharungi cabaran berkeluarga. Walaupun beliau pernah disisihkan oleh madunya, namun beliau tetap kental dalam meneruskan kehidupan. Tidak cukup dengan itu, beliau juga pernah dimaki hamun oleh anak-anak tirinya yang tidak suka akannya.
C. Tidak prihatin dalam mendidik anai-anak.
a. Sikap tidak prihatin dalam melakukan sesuatu perkara akan menyusahkan diri sendiri dan juga pihak lain. Sikap sebegini yang harus dielakkan oleh setiap orang.
b. Watak yang dapat dilihat dalam cerpen ini ialah watak datuk sendiri yang tidak prihatin terhadap anak-anaknya. Datuk tidak pernah menyatukan anak-anaknya. Hal ini menyebabkan tiada nilai kasih sayang di antara anak-anak beliau. Malah, menduka citakan ialah ada yang tidak mengenali adik beradik mereka sendiri.
D. Keinsafan dalam diri. 
a. Keinsafan dalam diri setiap orang harus ada bagi mengekalkan kesejahteraan dan kedamaian dalam hidup berkeluarga.
b. Dapat dilihat melalui watak Datin yang mula insaf dan menyedari bahawa pentingnya beliau berbuat baik terhadap madunya terutamanya Siti Halijah yang juga merupakan isteri keempat datuk. Beliau mula berubah apabila suami kesayangannya meninggal dunia.

WATAK DAN PERWATAKAN 
Datuk  
*Mempunyai 4 orang isteri seperti Datin, Siti Halijah, Cikgu Jalilah.        
*Bekas pegawai kerajaan.
*Seorang pemimpin yang dikasihi, dihormati, disegani dan disukai oleh                          masyarakat disekitarnya. 
Datin
*Isteri datuk yang pertama.
*Ibu kepada Jahara, Shuhada dan lain-lain lagi.
*Seorang yang pemarah ( lima tahun dahulu)- memarahi Siti Halijah yang juga madunya.
*Seorang yang pemaaf - Datin mula sedar dan memaafkan semua kesilapan madunya. 
Siti Halijah   
* Isteri keempat datuk
*Mempunyai 2 orang anak iaitu Zetty dan Zul.
*Seorang yang penyabar - sifat sabar selalu ada pada Siti Hallijah. Walaupun pernah dimarahi oleh datin.Namun beliau tetap sabar menghadapi semua itu.
*Seorang yang tabah - Beliau tabah dalam menghadapi dugaan hidup apabila suaminya meninggal dunia.

LATAR
Latar Masa
Waktu Pagi
Waktu pagi digambarkan suasan suram kerana datuk yang amat dihormati oleh masyarakat yang sekitarnya. Suasana pilu menyelubungi ahli keluarga yang berkumpul di rumah datin. Ramai yang kelihatan sugul dengan kematian datuk yang dianggap banyak memberi sumbangan kepada masyarakat setempat. 
Waktu Subuh  
Dalam waktu digambarkan datin menelefon madunya Siti Halijah untuk memberitahu kematian datuk. Siti Halijah begitu sedih menerima berita kematian datuk yang juga suaminya.

Latar Tempat
Rumah Datin 
Di rumah datinlah ahli keluarga berkumpul menziarahi datuk. Di rumah datin, Siti Halijah dan ahli keluarga yang lain menatapi wajah datuk buat kali terakhir. Selain itu juga, di rumah datinlah mereka berkumpul dan bersatu semula dan hidup bersama-sama. Siti Halijah telah menerima pelawaan datin untuk tinggal bersama-sama dengannya.

Latar Masyarakat
Masyarakat yang gemar berkahwin lebih daripada satu.
Gambaran masyarakat ini dapat dilihat melalui watak datuk yang mempunyai empat orang isteri. Dalam masa yang sama kesemua madunya tidak sehaluan dan sering dengki mendengki antara satu sama lain. Ini menyebabkan mereka sering bergaduh kerana tidak mahu hidup bermadu.
Masyarakat yang tidak menghormati orang tua.
Keadaan ini dapat dijelaskan melalui watak anak-anak datin yang sering memarahi dan memaki Siti Halijah yang juga ibu tiri mereka. Gambaran masyarakat ini tidaklah baik dan memburukkan imej mereka kerana walaupun Siti Halijah adalah ibu tirinya namun untuk menghormatinya juga ada kerana ia juga sebahagian daripada keluarga mereka.

TEKNIK PENCERITAAN 
Dialog
Dalam cerpen ini Aadanya dialog yang boleh dilihat. Contohnya perbualan antara Datin dan Siti Halijah dalam telefon. Datin memberitahu kepada Siti Halijah tentang kematian Datuk. M/s 61 b4..."Siti, ini kakak".
Suspen
Suspen dapat didefinasikan sebagai menimbulkan tanda tanya. Pembaca akan tertanya-tanya apakah yang  akan berlaku. 
Konflik
Konflik bermaksud pertentangan seorang watak dengn watak yang lain. Dalam cerpen ini pertentangan wujud di antara Datin dengan Siti Halijah. Datin tidak menyukai Siti Halijah kerana mengahwini Datuk tanpa persetujuaannya.

GAYA BAHASA
Metafora 
Metafora merupakan gabungan konkrit dan abstrak. Contohnya menggigit tulang. Menggigit tulang merupakan sesuatu yang abstrak yang mana tidak boleh dilihat. Manakala tulang adalah sesuatu yang konkrit yang mana boleh dilihat dengan mata.
Sinkof
 Sinkof merupakan singkatan perkataan. contohnya "kalau mereka tak balik, eloklah kita kebumikan sekarang" m/s 71 b9. Dalam ayat ini tak ialah sinkof. Sepatutnya ia ditulis sebagai tidak.
Asonansi 
Asonansi bermaksud pengulangan huruf vokal yang sama. Contohnya pengulangan huruf konsonan K. "kalau mereka tak balik, eloklah kita kebumikan sekarang": m/s 72 b9. 
Simile
Gaya bahasa yang menggunakan katak bak, umpama, bagai, ibarat, laksana dan sebagainya.
Aliterasi
Aliterasi bermaksud pengulangan huruf bunyi konsonsan yang sama. Contohnya pengulangan konsosan t dalam baris tetangga m/s 58, b14. Dalan ayat ini tetangga ialah aliterasi.

PLOT 
Plot dalam cerpen ini tidak mengikut kronologi atau urutan masa.
Permulaan.
Dalam cerpen Warna Hati Seorang datin, pengarang mengisahkan atau menceritakan kisah kematian datuk.
Perkembangan.
Siti Halijah dimaklumkan oleh datin dengan kematian datuk. Siti Halijah berasa sedih dengan berita kematian datuk. 
Klimaks.
Madu-madu dan anak-anak tiri datin datang ke rumah datin untuk menziarahi jenazah datuk.
Peleraian
Siti Halijah dan anak-anaknya dijemput oleh datin untuk tinggal bersama-sama dengannya dan akhirnya mereka berbaik semula. 

LATAR MASYARAKAT 
Tabah dalam menghadapi sesuatu perkara 
Dalam cerpen ini digambarkan madu-madu datin mempunyai ketabahan dalam berkeluarga. Mereka tidak mudah mengalah wapaupun mereka tidak diterima oleh keluarga dan anak-anak datin. Ketabahan yang ditunjukkan oleh Siti Halijah, Syarifah Aminah dan cikgu Jalilah menunjukkan mereka mempunyai ketabahan yang kuat dengan tidak mudah berserah kepada takdir semata-mata.
Mengamalkan semangat kejiranan 
Dalam cerpen ini digambarkan masyarakat yang mengamalkan semangat kejiranan dan menghormati di antara satu sama lain. Masyarakat sekitar saling menghormati terutamanya datuk yang sering dihormati dan dipandang tinggi walaupun ia hanya melibatkan kawasan rukun tetangga. Datuk sentiasa dihormati sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sikap saling menghormati ini bukan hanya terhadap datuk sahaja malah di antara mereka sendiri.
Masyarakat yang penyayang  
Dalam cerpen ini digambarkan mempunyai masyarakat yang penyayang. Contoh watak yang boleh dilihat dalam cerpen ini ialah Datin, Siti Halijah dan beberapa orang lagi yang amat menyayangi anak-anaknya dan juga mengasihi madu-madunya. Contohnya Datin, walaupun puluhan tahun dahulu tidak menyukai madu-madunya, namun setelah kematian suaminya, dia telah insaf dan amat menyayangi madunya terutamanya Siti Halijah dan juga anak-anak tirinya. Begitu juga dengan Siti Halijah yang sentiasa menyayangi madu dan anak-anak datin.

NILAI 
Tabah
Ketabahan dalam diri amat penting untuk meneruskan kehidupan. Contohnya Siti Halijah tabah dalam meneruskan kehidupannya walaupun pernah dimarahi oleh datin dan juga anaknya kerana mengahwini datuk.
Penyayang 
Nilai penyayang merupakan nilai yang harus ada dalam setiap orang. Contohnya, datin sayang akan suaminya walaupun suaminya kerap melukakan hatinya. Begitu juga dengan Siti Halijah sayang akan suaminya walaupun pernah menempuhi cabaran pahit sebagai isteri keempat kepada datuk.
Berwibawa 
Nilai berwibawa sangat penting dalam diri seseorang pemimpin. Contohnya datuk seorang pemimpin yang disayangi kerana kewibawaannya sebagi seorang pemimpin, walaupun ia hanya melibatkan kawasan rukun tetangga. Datuk banyak membantu masyarakat setempat yang memerlukan pertolongannya.
Bersabar 
Nilai bersabar amat dituntut dalam Islam kerana ia separuh daripada iman. Nilai bersabar bukan hanya menjadikan diri kita lebih baik malah menjadikan kita lebih tabah dalam meneruskan kehidupan yang penuh dengan onak dan duri. Contohnya, Siti Halijah sentiasa bersabar dengan karenah anak tirinya yang tidak menyukainya sebagai ibu tirinya dan isteri keempat ayah mereka.

PENGAJARAN 
Kita haruslah tabah dalam menghadapi sesuatu perkara 
Nilai tabah akan menjadikan kita lebih kuat dalam menghadapi cabaran hidup. Dalam cerpen ini, Siti Halijah tabah dalam menempuhi cabaran hidup walaupun pernah dimarahi oleh madu dan anak tirinya kerana tidak menyukainya sebagai ibu tiri.
Kita haruslah bersabar dalam mengharungi cabaran hidup 
Nilai kesabaran yang tinggi akan menjadikan kita disukai ramai orang. Contohnya, Siti Halijah yang sentiasa bersabar dengan madu dan anak-anak tirinya yang tidak menghormatimya sebagai ibu tiri mereka. Walau sudah lama berkahwin dengan datuk, dia masih tidak diterima dalam keluarga datin sebagai ahli keluarga mereka.
Kita perlulah sayang menyayangi di antara satu sama lain 
Nilai ini akan menjadikan kehidupan kita lebih bahagia. Contohnya, datuk amat menyayangi semua isterinya serta anak-anaknya. Beliau juga memberikan sepenuh kasih sayang kepada mereka.
Kita janganlah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa 
Jika ini dilakukan ia akan menyebabakan perpecahan dalam kalangan anak-anak. Contohnya, datuk telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa dengan tidak menyatukan anak-anaknya. Ada di antara anak-anaknya yang tidak mengenali di antara satu sama lain berikutan bapanya tidak mengambil berat tentang itu.
Kita janganlah membenci di antara satu sama lain 
Sifat ini akan membawa padah dan akan membawa perpecahan. Contohnya, Datin amat
membenci madu-madunya dan tidak menyukai anak-anak tirinya. Begitu juga dengan anak datin, Jahara yang pernah memaki hamun ibu tirinya, Siti Halijah kerana berkahwin dengan ayahnya tanpa kerelaan mereka.
     




       
l

Jumaat, 7 Oktober 2011

PENGENALAN ANTOLOGI CERPEN MADU ILMU


Cerpen merupakan genre sastera yang cukup popular. Sejarah penulisan cerpen bermula dengan tersiarnya cerpen "Kecelakaan Pemalas" karya Nor Ibrahim Madrasi dalam majalah Pengasuh 
( 1920 ). Kemudian, penulisan cerpen terus berkembang mengikut perkembangan yang berlaku dalam masyarakat sezaman. Antara isu penting yang sering dipaparkan dalam penulisan cerpen ialah isu yang berkaitan dengan sosioekonomi, sosiopolitik, sosiobudaya dan nilai kehidupan masyarakat.
Genre cerpen dalam antologi Madu Ilmu menghidangkan sejumlah sembilan buah cerpen yang mengangkat pelbagai tema dan persoalan. Antara cerpen yang termuat di dalam antologi ini ialah cerpen "Seekor Manusia Seorang Binatang" karya Muhammad Isa al-Jambuli, cerpen "Warna Hati Seorang Datin" karya rahman Haji Yusof, cerpen "Benar Kata Ayah" karya Ria Asmira, cerpen "Gersang" karya Masniah Kalyubi, cerpen "Tagung" karya Witer Gunik", cerpen "Sidang Para Dukun dan Sindrom" karya Hasan Ali, cerpen "Rindu Tanah Malaya" karya Hashim Latiff, cerpen "Di Bawah Langit Takut-Takut" karya Amalia Fauza Bohari dan cerpen "Bagai Hembusan Bayu Senja" karya Juri Durabi.